Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Sunday, May 2, 2010

Sayangi Hati Kita

 

Dunia memang terlalu menyibukkan hingga kadang-kadang kita lupa diri dan keliru dengan apa yang kita sibukkan.Seringkali kita biarkan terabai perkara-perkara yang utama dan menghabiskan sebahagian besar dari

masa kita dalam perkara-perkara yang kurang utama. Ketika inilah kita perlukan kerehatan.....kerehatan jiwa, untuk kita bangunkan semula kekuatan iman dan seterusnya berbekalkan kekuatan iman ini kita menongkah arus yang seringkali menyebabkan kita tersungkur dan hilang arah tujuan.

Inilah hakikat kehidupan kita yang sebenar.....kita akan sentiasa terdedah kepada dua tarikan:


(1)Tarikan keimanan yang menjadikan hati kita lembut dan tenang, niat kembali bersih dari kekufuran dan kemunafikan serta kepekaan terhadap tugas insani Rabbani menjadikan kita sentiasa berada dalam amal soleh dan azam kebaikan.

(2)Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futur dan kufurnya, menjadikan dunia indah pada pandangan matanya lalu jiwa menjadi keras serta penuh dengan keluh kesah lalu menjadikan kita sentiasa berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angannya dan berlengah-lengah dalam mencari manfaat diri.

Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, pasti akan terus berlaku.

Firman Allah SWT: Surah Asy-Syams 7-10

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaan, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”


Penyucian jiwa:

Wahai mahasiswa-mahasiswi harapan Islam,

Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis zikir dan tazkir, saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain serta sentiasa menghubungkan hati mereka dengan sumber kekuatan jiwa hingga jiwa mereka menjadi tenang, hati menjadi lembut serta peka dan cinta kepada kebenaran. Mereka juga sering sibuk memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran, memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan serta memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang akan membawa kepada bid'ah atau kecuaian hingga meninggalkan dan memandang ringan perintah Allah dan petunjukNya.

Mu'adz bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman. Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya:

"Marilah kita duduk untuk beriman sejenak."

Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad-Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya:

"Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak."

Kita bagaimana?

Lalu marilah kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Nasihat-nasihat ini. marilah kita duduk sejenak mendengar dan merenung sedikit nasihat agar hati kita menjadi lembut semula.
Ibn Qayyim al Jauziyah telah menulis:

“Sesungguhnya Allah menjadikan hati adalah untuk ma’rifatullah, mentaati-Nya dan mencintai-Nya. Sekiranya ketiga-tiga perkara ini tidak berlaku maka hati itu sebenarnya telah cacat”.

 

Bagaimanakah keadaan hati kita? Di antara hakikat lalai yang paling membinasakan adalah lalai untuk meneliti hati sehingga hati yang segar bertukar menjadi gersang kemudian berpenyakit sehingga membawa kematian hati. Seandainya hati kita mati lantaran kelalaian kita, Ibn Qayyim mengatakan “Anda adalah seorang pembunuh!” Anda telah membunuh hati anda sendiri. Kematian hati sememangnya biasanya tidak dirasai oleh pemilik hati kecuali mereka yang masih dikehendaki kebaikan oleh Allah SWT. Kematian hati tidak memberhentikan penambahan usia. Kehidupan zahir tetap berjalan cuma hati kita telah berhenti berfungsi. Inilah kematian sebelum ajalnya.

 

Takutilah hari di mana anda kematian hati tetapi anda tidak menyedarinya. Jasad anda hanya ‘kubur’ yang menyimpan ‘hati yang telah mati itu’.
Sesungguhnya hanya hati yang bersih sahaja yang Allah akan pandang. Takutilah pada hari anda mengangkat tangan anda tetapi Allah SWT tidak mahu memandang anda lagi! Takutilah pada hari kamu memohon dan berdoa meminta kecemerlangan, kebahagiaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi tapi Allah tidak mengendahkan kamu lagi. Dan takutilah pada saat penentuan samada syurga atau neraka untukmu, tiada peluang lagi bagimu untuk membuat pilihan.
Marilah kita teliti detik masa yang berharga yang kita lalui. Marilah kita teliti keadaan hati kita. Janganlah biarkan detik yang berharga ini berlalu tanpa membawa keberuntungan kepada kita.


Konklusi:

·    Jadikan Hidupmu Yang Sementara Ini Sebagai Medan Mencari Bekalan Untuk Kehidupan Yang Kekal Abadi.
·    Hitunglah Hari-Hari Yang Kau Lalu... Semuanya Akan Ditanya Kemana Telah Kau Pergunakan.

Sunday, August 9, 2009

Yahudi dan Kita

Assalamualaikum semua...

selamat kembali bersiaran,
sudah lama kita tidak bersama,
mungkin masing-masing punya laluan sendiri,
punya ehwal yang perlu dibereskan gamaknya,
namun yang menyatukan kita hanya Dia,
telah ditakdir kita bertemu kembali detik ini,
saat sudah lama menyepikan diri ,
dengan haluan dan hala yang bukan dipersimpangan,
membawa satu post sebagai buah tangan..
terus digagahi dan dikerah segala kudrat serta bakat,
dari sang-sang panjang meruncing memulakan tari,
untuk melompat lantas menjunam,
atas kekunci arena pertampuran ,
sebagai hasil moga semua peroleh infiniti kebaikan..


Pertama sekali mohon maaf atas pendahuluan yang agak panjang , namun hujah yang dibawa InsyaAllah tidak lompong dan tidak membuat antum semua melopong. Pasti kaget saat membaca tajuk diatas. Perkataan YAHUDI kenapa perlu bersama-sama perkataan KITA ditulis , malah sebaris dan dijarakkan dengan hanya kata hubung. Hendak tahu apa signifikannya dan apa keistimewaannya serta kenapa pula boleh wujudnya sediamikian rupa, jangan malu jangan segan. Terus membaca setelah betulkan niat.

Tujuan utama post ini dicipta tiada kaitan langsung dengan Yahudi. Bukan untuk berdakwah supaya memeluk agama Yahudi yang merupakan agama Thamawi itu, tidak pula bertujuan untuk menentang dan melenyapkan kaum Yahudi dari muka bumi ini seperti propaganda Hitler. Artikel ini yang jauh lebih berkonsepkan santai mengufuk kearah pengonsian sesama keluarga lebih bersifat kekitaan yang berkait rapat dengan kita semua selaku mahasiswa dan mahasiswi perubatan dan pergigian Islam. Sangat sinonim dengan segala rutin kita dari sehari ke sehari lebih bersifat perancangan masa depan.

Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Umar Abdul Aziz. Dua pemimpin yang mampu membawa nama mereka sehingga ke hari ini untuk dijadikan sebagai role model bagi pemimpin-pemimpin selepas mereka. Malah pemimpin bukan Islam sekalipun telah mengambil contoh pemerintahan mereka seperti Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Dua orang yang hidup dalam situasi yang berbeza, zaman yang berbeza, keadaan masyarakat yang berbeza, kekuatan umat yang berbeza, tempat dan masa yang berbeza, kerajaan yang berbeza tetapi mempunyai satu perkara yang sama selain nama mereka iaitu aqidah serta kepercayaan yang jitu. Berpengang dengan panji Islam itu telah membawa mereka kearah kemulian. Bak kata-kata Saidina Umar al-Khattab, " kita kaum yang dimuliakan dengan Islam dan jangan kamu mencari kemulian selain darinya". Sengaja buat pembuka , kita mengenang kembali sirah Umarain ini.

Kebelangan ini semua pasti sibuk dengan pelbagai program yang diadakan termasuk yang porpular iaitu pilihan raya dan mesyuarat agung tahunan (AGM ). Baik bagi persatuan induk Jordan iaitu MPPM, persatuan zon iaitu PERMAI mahupun persatuan-persatuan negeri iaitu BKAN bagi negeri masing-masing.

Dengan kesempatan ini tahniah dan takziah diucapkan kepada semua yang terpilih untuk memegang jawatan sebagai pemimpin . Tidak kira AJK bagi unit - unit MPPM , AMT PERMAI kepada setiausaha agung dan timbalan setiausaha agung serta ME PERMAI bagi JKK PR, JKK MP dan JKK PMK. Tidak lupa juga kepada ajk-ajk bagi semua JKK yang baru dilantik.
Dalam BKAN negeri pula , YDP setakat ini tiada lagi insyaAllah selepas ini mungkin akan wujud kerana sinar-sinar telah nampak sedikit sebanyak dalam kalangan kita bagi BKAN yang masih belum mengadakan AGM. Turut diucap kepada YDPah,kita sudah ada tetapi mungkin akan berlaku penambahan, insyaAllah. Tidak dilupa juga kepada semua AMT BKAN walaupun ada yang kedua-dua pihak daripada keluarga kita sebagai contoh bendahari KMKJ dan timbalannya dan lain-lain.

Mengapa tahniah dan mengapa pula takziah? Perlukah diterangkan? Rasanya sudah terang lagi bersuluh. Tanpa perlu dihurai dengan frasa yang lain sudah memadai bagi menembus akal mahasiswa mahasiswi perubatan dan pergigian Islam di Jordan ini, insyaAllah. Moga-moga dengan taklifan dan mandat yang diserahkan tersebut mampu menjadikan ia sebagai satu batu loncatan serta lorong untuk dijadikan satu medium bagi pelincir dan pemudah kita menegakkan syiar Islam yang sedang kita bawa dan perjuangkan selama ini.


"Taklifan, Amanah, Tanggungjawab, Komitmen, Jawatan, Tugasan..."

Apa ini sebenarnya....
Adakah sama ....
Atau sekadar ejaan dan sebutan yang memisahkan mereka..
Apa kaitannya dengan kita..
Atas tujuan apa perkataan ini disusun rapi sebaris...
Adakah perlu untuk aku kisah dengan setiap perkataan tersebut..
Atau hanya melihat sebagai satu perkara biasa...


"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk memberikan amanah kepada ahlinya. "
- Surah An-Nisa' : 58

Cukuplah satu kalam Ilahi menjadi penggegar tulisan ini;

Ingatlah, bahawa Allah tidak akan memberi kita bebanan tersebut jika kita tidak mampu. Dalam erti kata lain bebanan itu bukanlah diluar tahap kemampuan kita .Sesungguhnya apa yang dibebankan kepada kita adalah mengikut kepada kemampuan kita.
Sang pencipta tidak akan menyusahkan hamba-hambanya. Kerana Dialah yang mengurniakan kemampuan tersebut.

Tetapi perlu diingat,

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan menerima amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia, sesungguhnya manusia itu amat zalim & bodoh.
- Al-Ahzab : 72

Bak kata Imam Ghazali " Sesungguhnya perkara yang paling berat adalah AMANAH" Perkara ini acap kali diulang dan diulas. Jadi tidak perlu untuk kita hurai dengan panjang kerana cukup ia sebagai peringatan.

Berbalik kepada tajuk. Kita dan Yahudi. Bunyi agak janggal dan kurang masuk dengan apa yang dibincangkan setakat ini. Biar kita tengok apa signifiklink
annya ?

Kita lihat kembali sirah Yahudi kotemporari bermula dari mana sebenarnya. Semua tahu, tidak pernah wujud satu nagara khas untuk menempatkan kaum mereka di muka bumi yang fana inisejak dari dahulu kala lagi. Apa falsafah yang mereka pegang dan apa pula pegangan mereka sehinggakan negara haram Israel semakin hari semakin luas dari segi peta geografinya.

Bagaimana proses untuk mengumpul dan sebelum itu meyakinkan semua orang Yahudi yang menumpang serta berpeleseran di serata dunia ini boleh tercetus. Walhal telah wujud dua golongan yang dominan ketika itu iaitu golongan yang lebih mementingkan keduanian yang bersifat materialistik manakala suatu golongan lagi adalah golongan alim yang lebih mengejar keagamaan dalam setiap urusan.

Agak mustahil dua golongan yang sudah pasti hala tujunya berlainan dapat disatukan. Inilah yang
berjaya dilakukan oleh mereka demi mengejar cita-cita masing-masing berpandukan satu kepercayaan yang jitu serta berpaksikan beberapa keperluan atau misi yang secara kebetulan dapat diseragamkan bagi meyakinkan hala tuju masing-masing tidak terpesong.

Kepercayaan yang satu iaitu Yahudi itu sendiri telah dijadikan agama dan bangsa tanpa menidakkan bangsa atau dahulunya bani Israel itu sendiri dengan beberapa prasyarat. Dua golongan ini telah menyenaraikan beberapa persamaan platform untuk mereka merealisasikan impian masing-masing antaranya mewujudkan negara Israel Raya dan ingin membagunkan Haikal Sulaiman diatas keruntuhan Masjidil Aqso.

Bukan semua perkara kita perlu pandang buruk kepada kaum Yahudi ini. Bukan semua perkara kita tidak boleh mengikut jejak Yahudi ini. Justeru, marilah kita mengambil sedikit contoh ini untuk dijadikan sebagai pedoman dan seterusnya diaplikasi dalam rutin kita seharian.

Jangan cakap kosong saja. Kalau sebelum ini kita sering katakan ingin memperjuangkan Islam dan ingin mengembalikan kegemilangan Islam itu sendiri. Mana langkah mulanya?
Bagaimanakah kebersamaan ahli Permai itu dapat diwujudkan kalau kita yang merupakan lebih kurang 15 peratus daripadanya tidak dapat mewujudkan kebersamaan itu terlebih dahulu. Marilah kita kembali bersatu duduk untuk mewujudkan kebersamaan bagaikan sebuah keluarga walaupun kita telah memegang tampuk pemerintahan dalam berlainan persatuan ataupun kita telah melancarkan kempen besar-besaran buat berlainan calon tetapi biarlah pegangan tersebut kembali menjadikan kita satu.

Kita boleh menyebut pelbagai perkataan termasuk Ukhwah dan sebagainya, namun biarlah pegangan kita iaitu aqidah kita menyatukan untuk kita mewujudkan kebersamaan sesama kita secara tidak langsung mewujudkan satu sinergi dalam perjuangn untuk memegang panji-panji Islam demi meneruskan perjuangan Rasulullah megembalikan kegemilangan Islam. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan memulakannya. Ingatlah suatu kejayaan yang memerlukan jutaan usaha bermula dengan langkah yang pertama.

~RACS~

Sunday, June 14, 2009

Tanda-Tanda Anda Dilamun Cinta

Apakah perasaan anda pabila cinta anda ditolak..?
Dan apa perasaan bila cinta anda berbalas?
Tambahan yang membalas cintamu adalah Yang Maha Perkasa..Allah Rabbul jalil.

Disini ku titipkan beberapa tanda anda dilamun cinta dengan yang Maha Pencipta.
  • Anda suka untuk bertemu dengan-Nya. Tak sabar untuk bertemu. Tak berjumpa sesaat seolah-olah anda jadi tak menentu. Persiapan dibuat setiapa kali sebelum bertemu-Nya.
  • Mendahulukan-Nya lebih dari yang lain. Dia mengatasi yang lain. Segala kehendaknya anda utamakan dan yang dilarangnya anda cepat-cepat menjauhkan diri.
  • Gembira bila bersama-Nya. Ingin sentiasa bersama walaupun di mana anda berada. Susun kata indah hendak bertemu. Ayat-ayat cinta kau luahkan pada-Nya sebagai pujian ke atasnya.
  • Tidak sedih kehilangan segalanya kerana cintamu terhadap-Nya melebihi segalanya. Biarlah semuanya hilang dan tiada asalkan anda tak kehilangan ISLAM .
  • Merasa nikmat melakukan ketaatan terhadap perintahn-Nya. Membela agamanya sudah cukup membuatkan anda merasa nikmat di dunia.
  • Tegas terhadap mereka yang menghina Islam. Apatah lagi yang melanggar apa yang disuruh-Nya.

Itulah sedikit tanda-tanda anda dilamun cinta bersama-Nya. Adakah cinta anda berbalas? Atau anda dalam dilema cinta si dia atau yang Maha Pencipta?

Moga kita mendapat cinta dari-Nya. Terkadang dalam hidup ini kita perlu korbankan nikmat yang sedikit untuk mendapat yang lebih besar.

dipetik dari i luv Islam.com

Tuesday, May 19, 2009

Layan jangan, lawan pun jangan

kredit kepada saifulislam.com : http://saifulislam.com/?p=1975

“Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengelakkan diri daripada bercinta semasa belajar? Apakah kaedah yang boleh digunakan?”, tanya seorang peserta kepada saya di dalam ceramah Aku Terima Nikahnya, anjuran Nisa’ WP tempoh hari.

“Oleh kerana kita sudah berbicara tentang kuasa cinta, maka saya berpandangan, cinta tidak boleh dilawan dan tidak boleh dilayan. Untuk menjadi mangsa kuasa cinta, tidak perlu melayan cinta, sebaliknya melawan cinta juga sama kesannya”, saya memberikan jawapan.

Saya bukan Profesor Serba Tahu yang ada jawapan untuk semua soalan. Maka jawapan-jawapan saya lebih kepada perkongsian. Mana yang baik, jadikan teladan. Mana yang buruk, jadikan sempadan.

Soal melayan cinta, memang tidak sukar melihat akibatnya. Sudah banyak kali saya perkatakan sebelum ini berkenaan kesan melayan cinta tanpa kebarangkalian cinta itu mencapai perkahwinan.

Tetapi soalnya kali ini ialah perbuatan melawan cinta.

Peserta tersebut bertanyakan kepada saya, apakah dengan mengelakkan diri daripada mendengar lagu cinta termasuk nasyid cinta, maka dirinya boleh terelak daripada terjebak ke dalam cinta.

Hakikatnya, cinta tidak perlu dilayan atau dilawan. Hanya dengan mengingatinya dengan cara apa sekali pun, seseorang itu sudah pun duduk di bawah pengaruh cinta. Mengingati cinta lalu melayannya, ada akibat yang kita sedia maklum. Mengingati cinta lalu melawannya, juga ada kesan yang tidak baik.

“Macam mana cara orang melawan cinta?”, saya bertanya.

Peserta tersenyum-senyum. Begitu juga dengan penyoal.

“Bercakap kasar dengan lelaki atau bercakap pedas dengan perempuan?”, saya mengemukakan cadangan tentang cara biasa melawan cinta.

MELAWAN CINTA

Biasa benar saya bertemu dengan muslimat yang mahu melawan cinta, bercakap dengan lelaki seperti seorang askar bertitah kepada anak buahnya. Kalau sekali pun al-Quran menganjurkan perempuan supaya jangan melunakkan suara ketika bercakap dengan lelaki ajnabi, tidak pula sekali-kali al-Quran mengajar alternatifnya begitu.

Cakap biasa sudahlah.

Jika sudah biasa bercakap kasar dengan lelaki kerana kononnya sedang memerangi cinta, lama-lama sudah bercinta dengan suami pun masih terbiasa bercakap kasar. Itu penangan melawan cinta.

Sama juga dengan yang lelaki.

Kalau melawan cinta itu caranya ialah dengan me’laser’ perempuan, bercakap yang pedas-pedas hingga teresak-esak setiap perempuan yang berurusan dengannya, hati-hati! Jangan pula selepas berkahwin nanti pun, bermulut pedas kerana pengalaman bujang menentang cinta, lebih lama dari pengalaman kahwin menyuburkan cinta.

MENGELAK CINTA

Habis, apa caranya untuk mengelakkan diri dari bercinta?

Oleh kerana lawan pun kena, layan pun sama… maka cara terbaik mengelakkan diri dari cinta di luar masa, ialah dengan MELUPAKANNYA.

Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.

Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat “memberi”.

Sibukkan diri dengan kerja dakwah, kerana dakwah bukan boleh berhasil terus dengan kesediaan. Ia memerlukan latihan, pendedahan, proses buat betul dan buat salah… dan zaman pelajarlah masa terbaik untuknya.

Apabila tiba masa untuk berumahtangga, barulah masukkan cinta dalam agenda ketika diri sudah pun biasa dengan kesibukan, iaitu realiti sebenar kehidupan yang jauh dari angan-angan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Friday, May 8, 2009

DIA datang lagi!!


Dia kembali menjengok kita dikala semua kesibukan.
Dia datang membawa khabar mungkin menyenanangkan atau pun barang kali tidak enak untuk didengar atau diceritakan.
Dia datang mesti untuk menguji persediaan kita.
Dia datang membawa kayu ukur yang perlu kita perbaiki dan pertingkatkan diri.


Entah kali berapa kunjungannya kali ini, tidak tahu sama ada kunjungan terakhir buat kita atau satu kunjungan biasa kerna amat kerap durasinya berkunjung.Tetapi, setakat mana persediaan kita menyambutnya. Adakah secara besar-besaran, gilang gemilang, sempurna atau sekadar ala kadar.Sama-sama ambil cermin , pacakkan selari dengan batang tubuh. Jangan lihat apa hiasan di cermin , tapi banyangkan scaple di dalam genggaman. Anggaplah diri anda surgeon berkarisma serta berpengalaman. Apa yang ada di dalam. Apa pula cita-cita bagi menyambut si DIA. Bagaimana persiapan menyambut si DIA.

Tanggal 9 Mei 2009, Si DIA bakal mengunjungi kita. Ada tiga orang yang bakal bergelar tetamu kita menjelang esok hari . Mungkin semua terpinga-pinga, kenapa si DIA kalau tiga orang? Kenapa esok? Siapa si DIA?

Moga semua mendoakan rakan-rakan dan diri sendiri untuk berdepan dengan tetamu kita esok iaitu Physiology, English 112 dan Environtment protection. Bagi yang hanya mempunya seorang tetamu, anggaplah ini tetamu terakhir. Bagi yang dua , adililah mereka dengan adil bukan sama, dan yang tiga , tunaikan hak mereka.

InsyaAllah moga kita dirahmati dan dipermudahkan urusan kita esok hari melayani tetamu-tetamu kita ini. Marilah sama-sama kita berdoa dan sama kita mengerjakan solat hajat bersama pada malam ini.(walau x berkumpul sekali, tp biarlah hati-hati kita terkumpul untuk sama-sama bermunajat kepadaNYA).
Selaras dengan firmanNYA

"Hanya kepada engkaulah kami menyembah dan kepada engkaulah kami memohon pertolongan"

Moga sama kita memperbanyakkan doa dan tawakkal kepada yang maha PEMBERI.Ingat usaha bukanlah hanya semata2 dari segi praktikal tetapi perlu lebih dari segi spiritual. Moga kita dikurniakan kejayaan esok.Dengan harapan kejayaan itu bukanlah ISTIDRAJ iaitu kejayaan yang lebih menjauhkan diri daripada ALLAH, tetapi biarlah kejayaan itu akan mendekatkan diri kita dengan PENCIPTA kita. INSYAALLAH....


~RACS~

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More