Sunday, May 2, 2010

Sayangi Hati Kita

 

Dunia memang terlalu menyibukkan hingga kadang-kadang kita lupa diri dan keliru dengan apa yang kita sibukkan.Seringkali kita biarkan terabai perkara-perkara yang utama dan menghabiskan sebahagian besar dari

masa kita dalam perkara-perkara yang kurang utama. Ketika inilah kita perlukan kerehatan.....kerehatan jiwa, untuk kita bangunkan semula kekuatan iman dan seterusnya berbekalkan kekuatan iman ini kita menongkah arus yang seringkali menyebabkan kita tersungkur dan hilang arah tujuan.

Inilah hakikat kehidupan kita yang sebenar.....kita akan sentiasa terdedah kepada dua tarikan:


(1)Tarikan keimanan yang menjadikan hati kita lembut dan tenang, niat kembali bersih dari kekufuran dan kemunafikan serta kepekaan terhadap tugas insani Rabbani menjadikan kita sentiasa berada dalam amal soleh dan azam kebaikan.

(2)Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futur dan kufurnya, menjadikan dunia indah pada pandangan matanya lalu jiwa menjadi keras serta penuh dengan keluh kesah lalu menjadikan kita sentiasa berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angannya dan berlengah-lengah dalam mencari manfaat diri.

Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, pasti akan terus berlaku.

Firman Allah SWT: Surah Asy-Syams 7-10

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaan, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”


Penyucian jiwa:

Wahai mahasiswa-mahasiswi harapan Islam,

Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis zikir dan tazkir, saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain serta sentiasa menghubungkan hati mereka dengan sumber kekuatan jiwa hingga jiwa mereka menjadi tenang, hati menjadi lembut serta peka dan cinta kepada kebenaran. Mereka juga sering sibuk memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran, memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan serta memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang akan membawa kepada bid'ah atau kecuaian hingga meninggalkan dan memandang ringan perintah Allah dan petunjukNya.

Mu'adz bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman. Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya:

"Marilah kita duduk untuk beriman sejenak."

Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad-Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya:

"Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak."

Kita bagaimana?

Lalu marilah kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Nasihat-nasihat ini. marilah kita duduk sejenak mendengar dan merenung sedikit nasihat agar hati kita menjadi lembut semula.
Ibn Qayyim al Jauziyah telah menulis:

“Sesungguhnya Allah menjadikan hati adalah untuk ma’rifatullah, mentaati-Nya dan mencintai-Nya. Sekiranya ketiga-tiga perkara ini tidak berlaku maka hati itu sebenarnya telah cacat”.

 

Bagaimanakah keadaan hati kita? Di antara hakikat lalai yang paling membinasakan adalah lalai untuk meneliti hati sehingga hati yang segar bertukar menjadi gersang kemudian berpenyakit sehingga membawa kematian hati. Seandainya hati kita mati lantaran kelalaian kita, Ibn Qayyim mengatakan “Anda adalah seorang pembunuh!” Anda telah membunuh hati anda sendiri. Kematian hati sememangnya biasanya tidak dirasai oleh pemilik hati kecuali mereka yang masih dikehendaki kebaikan oleh Allah SWT. Kematian hati tidak memberhentikan penambahan usia. Kehidupan zahir tetap berjalan cuma hati kita telah berhenti berfungsi. Inilah kematian sebelum ajalnya.

 

Takutilah hari di mana anda kematian hati tetapi anda tidak menyedarinya. Jasad anda hanya ‘kubur’ yang menyimpan ‘hati yang telah mati itu’.
Sesungguhnya hanya hati yang bersih sahaja yang Allah akan pandang. Takutilah pada hari anda mengangkat tangan anda tetapi Allah SWT tidak mahu memandang anda lagi! Takutilah pada hari kamu memohon dan berdoa meminta kecemerlangan, kebahagiaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi tapi Allah tidak mengendahkan kamu lagi. Dan takutilah pada saat penentuan samada syurga atau neraka untukmu, tiada peluang lagi bagimu untuk membuat pilihan.
Marilah kita teliti detik masa yang berharga yang kita lalui. Marilah kita teliti keadaan hati kita. Janganlah biarkan detik yang berharga ini berlalu tanpa membawa keberuntungan kepada kita.


Konklusi:

·    Jadikan Hidupmu Yang Sementara Ini Sebagai Medan Mencari Bekalan Untuk Kehidupan Yang Kekal Abadi.
·    Hitunglah Hari-Hari Yang Kau Lalu... Semuanya Akan Ditanya Kemana Telah Kau Pergunakan.

0 Respon:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More