kredit kepada blog saudara Naqeb Sulaiman,
Memasuki fasal musim panas, persatuan-persatuan di Jordan akan mengalami musim pertukaran pucuk kepimpinan.
Namun, sejujurnya saya merasakan kehangatan pilihan raya tidak terasa mungkin disebabkan langit yang berawan sehari dua ini.
Pilihan Raya Persatuan
Sudah lama saya ingin tuliskan beberapa pendapat peribadi saya soal pilihan raya persatuan khususnya di Jordan.
Apa pentingnya pilihan raya?
Sekadar fasa pencalonan, kempen yang ala kadar dan pengundian berdasarkan gerak hati perasaan .
Kemudian, sesi pentadbiran bertukar ganti.
Selesai.
Adakah sesingkat dan sekecil itu peranan pilihan raya persatuan,ibarat melukut ditepi gantang.
Kelebihan yang perlu ditampung
Memang tidak dinafikan, kelebihan perjalanan persatuan-persatuan di Jordan adalah tidak wujud semangat ke"parti"an sepanjang pentadbiran dan menjelang musim pilihan raya. Semua ahli duduk sebumbung ibarat sebuah keluarga. Semua calon adalah sama.
Kelebihannya tidak wujud perpecahan dalam persatuan.
Namun ada satu lompang yang perlu ditampung oleh kita.
Suasana pilihan raya yang hambar!
Kempen ala kadar oleh mereka yang sudi mengempenkan calon, bagi yang tidak ambil cakna, hanya menjalani rutin harian biasa.
Calon pula tiada yang berkempen untuk diri sendiri dengan pelbagai sebab, mungkin tidak pernah dibuat orang, rasa diri tak layak, akan memakan diri, dilabel " gila kuasa " dan lain-lain lagi.
Kesannya, pilihan raya hanya jadi tradisi yang tidak memberi impak yang seharusnya dalam usaha mengikat ahli dengan barisan kepimpinan akan datang seawal dari pencalonan.
Saya tidak bermaksud untuk kita mewujudkan suasana berpuak-puak dalam berkempen.
Menaikkan calon pilihan dalam masa yang sama menjatuhkan lawan.
Bukan itu yang saya maksudkan.
Bagaimana pemilihan boleh dilabel sebagai berkualiti seandainya ahli hanya mengenali calon yang berlainan jantina sewaktu mahu memangkah kertas undi.
Mampukah ahli memilih calon-calon yang benar-benar layak seandainya calon itu sendiri bersifat ibarat "pengantin bersanding di atas pelamin", malu-malu dan hanya bersifat pemerhati,tidak menjelaskan apa yang akan diperjuangkan olehnya seandainya dipilih nanti, yang akan dipersoalkan ahli seandainya dia gagal mengotakan janji.
Apa yang diharapkan adalah kesedaran semua pihak dari setiap penjuru, tak kira di bahagian JPR, calon, ahli dan persatuan, semuanya seharusnya memainkan peranan dalam menjayakan
fasa pemilihan sesi akan datang.
Ya, memang setiap yang kita lakukan perlu bersederhana.
Membuat perubahan itu perlu berperingkat, yang penting perlu ada perubahan, jika tidak telan sahaja hakikat apabila dilabel sebagai ditakuk yang lama.
Tahniah saya ucapkan buat pihak yang telah membawa sedikit pembaharuan bagi meningkat kualiti pilihan raya persatuan.
Sama-sama kita berusaha agar persatuan kita benar-benar membina kesatuan dan menyatukan kita dalam mencari redha Tuhan.
Tuesday, July 7, 2009
Pilihan Raya: Ibarat Melukut Di Tepi Gantang
Posted by Buletin Kita! on 1:45 AM
0 Respon:
Post a Comment