Saturday, October 31, 2009

Mahasiswa kelas pertama : kerdil depan Tuhan, gah dalam perjuangan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, pemilik cinta yang tidak bertepi, pemilik kasih yang tidak berbelah bahagi, mencintai-Mu tidak pernah rugi.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., pemimpin tanpa takhta, panglima yang bijaksana, suami yang setia, kekasih yang tidak pernah bersua, rindu kami padamu sentiasa membara.

Semulia-mulia kata assalamualaikum ke atas semua saudara saya, abang-abang dan kakak-kakak JUST08, yang sentiasa saya kagumi akhlaq dan peribadi, pemuda-pemuda yang rendah hati, pemudi-pemudi yang kuat jiwanya dalam kelembutan diri, semoga kita sama-sama menyambung warisan nabi.

Saudara-saudari sekalian,

Apakah yang seorang manusia biasa akan fikir bila dilafazkan perkataan 'mati'? Mungkin pada pandangan sesetengah orang, kematian itu adalah suatu kegelapan yang bakal menyelubunginya. Kematian itu adalah pengakhiran kepada sebuah kehidupan yang penuh keseronokan, atau mungkin juga kematian sebagai penyelesaian kepada masalah hidup yang kian meruncing. Jika tidak, masakan manusia sanggup membunuh diri?

Kalau begitu, kematian itu hanyalah sesuatu yang buruk gambarannya. Kalau begitu, peliklah jika dikatakan kematian itu membawa kebahagiaan. Benarkah?

Saya ingin bertanya kepada anda, jika benar mati ini adalah pengakhiran kepada segalanya, dan sering digambarkan sebagai sesuatu yang menjadi pantang untuk menyebutnya, kenapa pula ada jaminan nabi S.A.W bahawa bijaklah manusia itu jika sentiasa memikirkan kematian dan bersedia menghadapinya?

Bagaimana pula manusia itu bijak jika mati yang difikirkannya sedangkan mati itu dalam fikiran kebanyakan orang hanyalah kegelapan dan kesuraman?

Jawapannya mudah.

Kerana mati itu adalah permulaan kepada perjalanan, bukannya pengakhiran. Permulaan jalan bahagia bagi mereka yang bersiap sedia dengan bekalan tapi permulaan jalan sengsara bagi mereka yang leka dengan kemaksiatan. Kematian itu sendiri akan menyuntik semangat dalam kehidupan kerana yakinnya dia tentang jalan bahagia yang dia bakal tempuh sekiranya bekalan kebaikan yang dikumpulkannya di dunia ini.

Saudara saudari sekalian,

Kenapa saya membawa perihal kematian ini?

Sebenarnya, begitulah juga kita dalam perjuangan menuntut ilmu ini. Jika kita fikir kejatuhan dan dugaan yang menimpa kita ini menandakan pengakhiran, maka itulah tanggapan yang paling salah. Kejatuhan itulah sebenarnya permulaan kepada jalan bahagia yang lebih panjang. Kejatuhan bukan destinasi akhir, tapi hanyalah sebagai checkpoint untuk mempersiapkan diri kita.

Seperti juga kebijaksanaan itu ada pada orang yang selalu memikirkan kematian (kerana bersedia menghadapinya), kebijaksanaan juga ada pada orang yang bersedia dengan bekalan ilmunya itu sebelum menghadapi checkpoint kejatuhan. Apa yang saya ingin maksudkan di sini ialah, dalam perjuangan, tidak boleh tidak untuk seorang penuntut ilmu itu bersungguh-sungguh untuk mempersiapkan dirinya dengan bekalan ilmu, dan kejatuhan dalam perjalanan menuntut ilmu itu adalah ujian Allah yang lazim bagi seseorang yang mengharapkan kebahagiaan abadi di hujung perjalanan.

Oleh itu, wahai saudara-saudara saya semua, ayuhlah bangkit, kerana mengharapkan kesenangan dalam menuntut ilmu itu umpama mengharapkan menetasnya gagak berbulu putih. Mustahil.

Saudara saudari sekalian,

Islam adalah agama yang memudahkan. Allah itu Maha Pemurah. Antara tanda pemurahnya Allah itu ialah Dia menyediakan pelbagai jalan dan laluan untuk kita mendapatkan rahmat-Nya. Antara laluan itu adalah dengan menuntut ilmu, dan untuk lebih khusus, ilmu perubatan.

Bagaimana?

Kita mempelajari sesuatu yang telah tersedia untuk kita, iaitu tubuh badan kita sendiri. Kita ingin mengetahui keajaiban yang telah Allah ciptakan ke atas tubuh kita ini, betapa sempurnanya manusia ini, seperti yang telah diungkapkan dalam Al-Quran dalam surah At-Tin.

Dalam microbiology, kita mengetahui bahawa terdapatnya virus, kita mempelajari bagaimana tersebarnya virus, kita mempelajari bagaimana virus itu menghancurkan bacteria, kita mempelajari bagaimana microfilaments tersusun dengan sempurna.

Dalam pathology, kita mempelajari bagaimana sekecil-kecil sel pun boleh tercedera rupanya, bagaimana sel itu boleh mengakibatkan bencana yang lebih besar dalam tubuh badan kita. Dalam kecedaraan sel itu, kita mempelajari bahawa sel itu sendiri punya mekanisma rawatan.

Dalam genetics, kita mempelajari, sekecil-kecil perkara dalam badan kita ini, merekalah yang telah bekerja untuk menghasilkan protein, yang membentuk kebanyakan bahagian badan kita. Kita mempelajari mutasi, dan mutasi itu boleh diakibatkan oleh sekecil-kecil perkara iaitu tertukar susunan gene.

Tidakkah kita sedar?

Saya ingin bertanya kepada anda. Dalam penciptaan yang hebat dan menakjubkan ini, berapa banyak komponen penciptaankah yang anda sumbangkan?

Satu?

Dua?

Tiada satu pun..itulah jawapannya.

Apa yang kita perlu lakukan, ialah bersyukur.

Tapi bersyukurkah kita?

RNA polymerase yang menghasilkan produk RNA itu sentiasa bertasbih kepada penciptanya. Begitu juga dengan topoisomerase. Begitu juga dengan leukocytes dan neutrophills yang bekerja mengikut arahan penciptanya. Begitu juga mycoplasma yang tiada dinding sel itu, mereka semua bertasbih.

Tapi jiwa yang berada dalam tubuh ini bagaimana?

Tidakkah kita ingat? Mutasi itu boleh berlaku disebabkan oleh sekecil-kecil faktor? Bermaksud, dengan sekecil-kecil sebab Allah boleh jadikan kita ini sengsara, Allah boleh menimpakan kita ini penyakit. Tapi, berapa banyak kesengsaraan sangatkah yang kita tanggung akibat tidak mengingati Allah? Berapa banyak penyakitkah yang kita ada akibat tidak bertasbih kepada-Nya? Layakkah kita untuk menjadi sihat?

Maha suci Allah! Allah Maha Besar! Allah Maha Pemurah!

Percayalah, hati akan menjadi tenang dengan mempelajari ilmu perubatan kerana dengan mempelajari ilmu perubatan itu kita akan mengingati Allah. Bukankah kita sepatutnya zikir dalam fikir dan fikir ketika zikir?

Saudara saudari sekalian,

Semoga dengan perkongsian ini, kita sama-sama bermuhasabah sejauh mana kita sedar bahawa kita ini hamba dan kita bermuhasabah sejauh mana kita sebenarnya layak untuk bergelar 'orang yang beriman' yang sering diungkapkan dalam Al-Quran. Tidakkah kita ingin disebut dalam Al-Quran?

Allah lebih mengetahui.

Ahmad Hidayat Hasni bin Mad Isa
-Hamba Allah yang sikit syukur, banyak nikmat-

0 Respon:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More