kredit kepada saifulislam.com : http://saifulislam.com/?p=1975
“Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengelakkan diri daripada bercinta semasa belajar? Apakah kaedah yang boleh digunakan?”, tanya seorang peserta kepada saya di dalam ceramah Aku Terima Nikahnya, anjuran Nisa’ WP tempoh hari.
“Oleh kerana kita sudah berbicara tentang kuasa cinta, maka saya berpandangan, cinta tidak boleh dilawan dan tidak boleh dilayan. Untuk menjadi mangsa kuasa cinta, tidak perlu melayan cinta, sebaliknya melawan cinta juga sama kesannya”, saya memberikan jawapan.
Saya bukan Profesor Serba Tahu yang ada jawapan untuk semua soalan. Maka jawapan-jawapan saya lebih kepada perkongsian. Mana yang baik, jadikan teladan. Mana yang buruk, jadikan sempadan.
Soal melayan cinta, memang tidak sukar melihat akibatnya. Sudah banyak kali saya perkatakan sebelum ini berkenaan kesan melayan cinta tanpa kebarangkalian cinta itu mencapai perkahwinan.
Tetapi soalnya kali ini ialah perbuatan melawan cinta.
Peserta tersebut bertanyakan kepada saya, apakah dengan mengelakkan diri daripada mendengar lagu cinta termasuk nasyid cinta, maka dirinya boleh terelak daripada terjebak ke dalam cinta.
Hakikatnya, cinta tidak perlu dilayan atau dilawan. Hanya dengan mengingatinya dengan cara apa sekali pun, seseorang itu sudah pun duduk di bawah pengaruh cinta. Mengingati cinta lalu melayannya, ada akibat yang kita sedia maklum. Mengingati cinta lalu melawannya, juga ada kesan yang tidak baik.
“Macam mana cara orang melawan cinta?”, saya bertanya.
Peserta tersenyum-senyum. Begitu juga dengan penyoal.
“Bercakap kasar dengan lelaki atau bercakap pedas dengan perempuan?”, saya mengemukakan cadangan tentang cara biasa melawan cinta.
MELAWAN CINTA
Biasa benar saya bertemu dengan muslimat yang mahu melawan cinta, bercakap dengan lelaki seperti seorang askar bertitah kepada anak buahnya. Kalau sekali pun al-Quran menganjurkan perempuan supaya jangan melunakkan suara ketika bercakap dengan lelaki ajnabi, tidak pula sekali-kali al-Quran mengajar alternatifnya begitu.
Cakap biasa sudahlah.
Jika sudah biasa bercakap kasar dengan lelaki kerana kononnya sedang memerangi cinta, lama-lama sudah bercinta dengan suami pun masih terbiasa bercakap kasar. Itu penangan melawan cinta.
Sama juga dengan yang lelaki.
Kalau melawan cinta itu caranya ialah dengan me’laser’ perempuan, bercakap yang pedas-pedas hingga teresak-esak setiap perempuan yang berurusan dengannya, hati-hati! Jangan pula selepas berkahwin nanti pun, bermulut pedas kerana pengalaman bujang menentang cinta, lebih lama dari pengalaman kahwin menyuburkan cinta.
MENGELAK CINTA
Habis, apa caranya untuk mengelakkan diri dari bercinta?
Oleh kerana lawan pun kena, layan pun sama… maka cara terbaik mengelakkan diri dari cinta di luar masa, ialah dengan MELUPAKANNYA.
Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!
Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.
Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.
Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat “memberi”.
Sibukkan diri dengan kerja dakwah, kerana dakwah bukan boleh berhasil terus dengan kesediaan. Ia memerlukan latihan, pendedahan, proses buat betul dan buat salah… dan zaman pelajarlah masa terbaik untuknya.
Apabila tiba masa untuk berumahtangga, barulah masukkan cinta dalam agenda ketika diri sudah pun biasa dengan kesibukan, iaitu realiti sebenar kehidupan yang jauh dari angan-angan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2009
Layan jangan, lawan pun jangan
Posted by Buletin Kita! on 2:36 AM
0 Respon:
Post a Comment